Abdullah Atau UMNO Yang Mesti Berubah?
October 6, 2008
Sebelum ini saya telah menulis “Sah, Pak Lah Berundur” dan “Dr Mahathir Pun Tak Percaya …” Sementara itu, Malaysiakini pula menulis mengenai “Petanda PM Tidak Bertanding Presiden“.
Pada hari Rabu 8 Oktober, Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat kabinet dan bertemu pemimpin parti-parti komponen BN. Beliau dikatakan akan memaklumkan secara rasmi kepada kabinet dan BN mengenai hasratnya untuk berhenti. Abdullah dijangka akan menolak pencalonan untuk pertandingan jawatan Presiden UMNO.
Melihat senario sekarang, Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah cukup pasti akan mengambilalih tempat Abdullah sebagai presiden parti. Cabaran yang bakal diberikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah tidak cukup kuat untuk menolak Najib keluar dari sasarannya. Malah, terdapat petanda bahawa Tengku Razaleigh mungkin tidak mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.
Persaingan untuk jawatan Timbalan Presiden akan bertambah sengit. Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus menjadi calon favourite walaupun Dato’ Seri Mohd Ali Rustam dan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin memberikan persaingan yang sengit. Tan Sri Muhammad Muhd Taib juga mungkin turut bertanding jawatan ini bersama-sama Dato’ Nur Jazlan Mohamed yang baru membuat pengumuman sedemikian.
PRU12 telah menyerlah pelbagai kelemahan UMNO (dan Barisan Nasional). Banyak pihak berpendapat “sesuatu” perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO yang menjadi tunjang BN. Selepas enam bulan, perubahan yang diharapkan nampaknya tidak berlaku. Dalam sesetengah kes, pembaikan yang cuba dibawa boleh diumpamakan seperti tikus membaiki labu.
Dato’ Zaid Ibrahim yang khabarnya membawa diri sewaktu PRU12 dilantik sebagai Menteri. Beberapa keputusan beliau sebagai menteri telah menyebabkan penentangan terbuka di kalangan ahli-ahli parti. Beliau dilihat lebih berminat untuk memusnahkan legasi Mahathir berbanding memberikan keadilan kepada rakyat marhaien.
Perlantikan Tan Sri Amirsham Abd Aziz sebagai menteri juga tidak diterima baik. Walaupun beliau berwibawa dan mempunyai kelayakan profesional, beliau tidak mempunyai kekuatan sebagai seorang ahli politik yang boleh mengukuhkan parti dan kerajaan. Tuduhan bahawa beliau membaca jawapan kepada “planted question” di Dewan Rakyat juga tidak membawa apa-apa keuntungan kepada parti.
Selain itu, nama Khairy Jamaluddin juga seringkali disebut sebagai liabiliti kepada parti. Adakah ini merupakan kejayaan pihak lawan mencemarkan nama Khairy atau apakah yang disebutkan mengenai Khairy benar-benar berlaku, saya tidak pasti. Satu perkara yang pasti ialah “Khairy” atau “KJ” bukanlah jenama yang baik untuk UMNO.
Cara Abdullah mengendalikan ekonomi juga menimbulkan kemarahan rakyat. Kenaikan harga minyak yang tinggi telah menyebabkan lonjakan inflasi yang besar. Penurunan “ciput” menyebabkan rakyat tidak merasai kesan yang besar. Tuduhan nepotisme dan kronisme dalam pemberian projek kerajaan berterusan. Betul atau salah, sekali lagi ia bukan isu. Politics is about perception.
Mahu tidak mahu, kita juga harus menerima hakikat bahawa beberapa inisiatif Abdullah seperti Islam Hadhari dan projek pembangunan koridor ditolak oleh rakyat. Ini bukan soal halal-haram. Saya tidak fikir Islam Hadhari sebagai satu pendekatan itu haram. Cuma, ia tidak dipakejkan dengan baik. Jenama pun salah. Akhirnya niat baik itu ditolak begitu saja.
Dalam soal koridor, pelbagai pihak membuat lawak dengan mengatakan kita tidak menjemput tetamu untuk duduk di koridor. Kalau hendak mengundang tetamu, biarlah masuk ke dalam rumah. Mahathir mengambil masa yang cukup lama untuk membangunkan Putrajaya. Namun, Abdullah mengumumkan pembangunan koridor selatan (Iskandar Malaysia), utara, timur, Sabah dan Sarawak dalam masa yang cukup singkat. Rakyat bertanya, setakat manakah pencapaian kesemua koridor ini?
Perlantikan banyak penasihat juga tidak dapat diterima. Sedang rakyat memprotes, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dilantik menjadi penasihat khas kepada PM mengenai NCER, koridor utara. Setakat ini kita tidak pasti apakah nasihat yang telah diberikan. Bagaimanapun sekiranya anda berada di Perlis sewaktu pilihanraya lepas, anda tentu bersetuju kalau saya katakan bahawa kain rentang mengucapkan tahniah kepada Shahidan yang baru dilantik penasihat itu lebih banyak dari kain pemidang ucapan selamat hari raya MB Perlis.
Menyedari penentangan rakyat, akhirnya MT UMNO memberikan mesej yang jelas kepada Abdullah. Sudah sampai masanya untuk beliau menyerahkan kepimpinan parti kepada orang lain. Akhirnya Abdullah akur. Pelan peralihan yang dijadualkan pada pertengahan 2010 dipendekkan kepada Mac 2009. Adakah ini akan memuaskan hati rakyat yang ingin melihat Abdullah berundur lebih cepat, itu tidak pasti. Besar kemungkinan apabila mesyuarat UMNO Bahagian bermula, akan terdapat suara-suara mendesak Perhimpunan Agung UMNO dikekal pada Disember ini.
Saya fikir tidak timbul lagi isu sama ada Abdullah akan bertanding atau tidak.
Persoalan sekarang ialah adakah dengan pemergian Abdullah, UMNO akan menjadi lebih kuat?
Satu lagi persoalan ialah mampukah Najib memakai “kasut besar” yang ditinggalkan oleh Mahathir?
Adalah menjadi satu kesilapan besar untuk ahli-ahli UMNO berfikir parti itu akan menjadi kuat semata-mata kerana Abdullah tidak lagi menjadi presiden. UMNO bukanlah parti seorang individu. Kekuatan UMNO terletak atas asas perjuangannya yang pernah disebutkan oleh Sir Hishamuddin, Sultan Selangor sebagai perjuangan “agama dan bangsa”. UMNO harus mencerminkan diri dan mencari jalan untuk kembali kepada perjuangan ini.
Rakyat merasa resah apabila melihat tindak-tanduk sesetengah pemimpin parti yang dilihat sebagai menghakis kedua-dua asas perjuangan ini. PAS dilihat “lebih Islamik” dari UMNO. Adakah tanggapan ini benar atau salah, itu tak penting. Yang penting ialah itulah tanggapan rakyat dan mereka akan mengundi dalam PRU13 nanti. Merekalah yang akan membuat penentuan sama ada memilih UMNO atau PAS untuk mewakili suara orang Melayu-Islam dalam sistem demokrasi di negara ini.
Walaupun sebahagian besar pemimpin dan ahli-ahli UMNO cekal dengan perjuangan untuk bangsa, namun ada segelintir kecil yang memperaga bangsa atas nama parti. Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar bagi membantu orang Melayu, namun ia masih gagal memberikan hasil yang diharapkan. Kewujudan kelompok “rent seeker” (ini pernah dihuraikan oleh Najib sebelum ini) dalam UMNO menjadikan imej UMNO lebih bersifat sebuah “dewan perniagaan” berbanding parti politik.
Satu lagi kritikan kepada UMNO ialah sistemnya terlalu mengongkong demokrasi. Sistem kuota dan pelbagai peraturan parti dilihat sebagai bertujuan mengekalkan kelompok elit pemimpin, sekaligus menghalang kemunculan pemimpin pelapis dalam parti. Akhirnya yang ada dalam UMNO ialah pemimpin yang tidak dapat membezakan antara fishing net dan internet. Bloggers yang dilahirkan hasil perlaksanaan dasar ICT negara digelar “goblok”. Itulah yang berlaku dalam pilihanraya lalu di mana pembangkang berjaya menggunakan media alternatif untuk membuat gelombang tsunami dalam politik negara.
UMNO harus melakukan reformasi yang besar kepada sistem dan stukturnya bagi menghadapi politik era baru. Sikap anak-anak muda yang enggan menyokong UMNO dalam PRU12 dan pilihanraya kecil P44 Permatang Pauh baru-baru ini adalah merupakan petanda bahawa UMNO akan menghadapi masa-masa sukar sekiranya ia enggan berubah.
UMNO tidak lagi boleh menjadi sebuah parti yang mengamalkan “political patronage”. Ia harus mengubah budaya cium tangan yang keterlaluan. Ahli-ahli parti hendaklah tidak lagi menganggap Ketua UMNO Bahagian yang baik ialah mereka yang menghabiskan masa berjam-jam di kedai kopi (dengan alasan untuk dekat dengan akar umbi). Sebaliknya, UMNO harus berubah menjadi sebuah parti yang mengutamakan ilmu dan kekuatan hujah. UMNO harus dilihat menarik kepada anak-anak Melayu yang berjaya. Biarkan mereka menjadi kritikal kerana itulah sebenarnya perjuangan. Tamatkanlah budaya mencatas tunas pemimpin baru yang hidup segar dalam parti hari ini.
Nah, persoalannya ialah mampukah Najib mengubah kesemua ini.
Untuk sekian lama Najib dan sebahagian besar pemimpin UMNO menjadi mangsa “personality assasination” politik Malaysia. Tanpa menafikan Najib juga ada kelemahan, ini tidak bermaksud beliau tidak menjadi mangsa fitnah musuh-musuh politiknya. Sebagai langkah permulaan, Najib harus serious menentang penjenayahan personaliti ini. Dia harus terbuka dan menjawab kesemua tohmahan. Walaupun orang yang menuduh Najib tidaklah bersih seperti yang digambarkan, namun mereka telah berjaya mengotorkan Najib; setidak-tidaknya pada mata rakyat.
Najib harus sedar perkara ini. Percayalah, serangan peribadi ke atas Najib akan meningkat selepas ini. Pelbagai tohmahan dan kisah lama akan keluar. Apa saja perbuatan dan percakapan Najib akan diteliti. Begitu juga dengan tingkah-laku isteri, anak-anak dan kaum keluarganya. Ini bukan soal betul atau salah. Ini ialah soal memburukkan nama beliau sebagai pemimpin. Sebagai bakal Presiden UMNO, Najib tidak harus membenarkan dirinya menjadi liabiliti kepada parti — seperti yang berlaku kepada Abdullah sekarang.
Inilah tanggungjawab besar yang ada kepada Najib. Sekiranya Najib gagal dalam misi untuk memulihkan UMNO, rakyat mungkin tidak akan memberikan kepercayaan kepada parti itu lagi. Bukan mustahil, ia juga adalah merupakan kemusnahan yang kekal untuk UMNO!
Entry Filed under: Politik. .
7 Comments Add your own
Leave a Comment
Some HTML allowed:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>
Trackback this post | Subscribe to the comments via RSS Feed
1.
Fazrul | October 6, 2008 at 2:31 pm
Salam Tuan,
Panjang sungguh coretan tuan, tunggu balik rumah baru baca ni.. time kerja kita kerja dulu heeee….
Salam mesra,
2. Usaha terdesak untuk PM ‘Flip-Flop’ Abdullah terus kekal dan tidak tunai janji? « The “thirteen million plus Ringgit” guy rambles…. | October 6, 2008 at 6:21 pm
[...] Apakah UMNO perlu melakukan perubahan dari bentuk mengeluarkan PM ‘Flip-Flop’ Abdullah atau membuat transformasi dalaman? Mungkinkah PM ‘Flip-Flop’ Abdullah sebenarnya tidak boleh dipercayai lagi dan apa apa janji yang diberikan, sebenarnya hanya tidak lebih melepaskan tengkok sendiri apabila terdesak? [...]
3.
Anis Yusal | October 6, 2008 at 8:09 pm
Salam! Thanks for resetting DebatRakyat. It makes it easier to browse through. By the way, apa cerita the latest contender for TP’s position. Blog pun tak dak time nak update….. sampai kena buang oleh Nobisha.
4.
Nizam Mat Saari | October 7, 2008 at 12:04 am
Wow, satu pandangan kritikal. Saya suka pandangan ini. Benar UMNO tidak bergantung kepada seseorang, namun “seseorang” itulah yang menentukan hala tuju dan pendirian parti. “Seseorang” itulah yang memberi imej kepada parti.
UMNO sekarang tidak menjadi satu team. Tapi dia jadi “my team”. Saya fikir kalau “seseorang” itu dapat menjadikan UMNO sebagai satu team, mungkin ia dapat memikat semula hati rakyat.
5.
malaysiakita | October 7, 2008 at 3:35 am
satu pandangan yang jujur. mencerminkan pandangan ahli-ahli umno. semoga tuan terus memberikan pandangan demi kebaikan umno dan orang melayu. ikhlas dan berterus-teranglah. itu yang sebaik-baiknya. insya-allah
6.
nobisha | October 7, 2008 at 1:26 pm
Sdr Nizam,
Cabaran besar yang menanti presiden umno akan datang ialah menyatukan kembali semua pemimpin dan ahli-ahli. Saya ingin melihat Mahathir dan Abdullah dimartabatkan sebagai tokoh parti yang masih berpeluang menyumbang kepada perjuangan dan pendapat mereka dihargai.
7.
bendera merah | October 8, 2008 at 9:28 am
“UMNO harus berubah menjadi sebuah parti yang mengutamakan ilmu dan kekuatan hujah. UMNO harus dilihat menarik kepada anak-anak Melayu yang berjaya. Biarkan mereka menjadi kritikal kerana itulah sebenarnya perjuangan”…..ini sebenarnyer selpas pak lah flip…resign..umno kena menuju arah ini…tapi…sekarang sudah muncul pulak pemuda yg marah kan kj…tapi mengunakan tactic yg sama mcm kj….ada wang semua boleh jadi bagi mereka..tapi bodoh tahap 8