Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Lebih Sarah Palin?

October 7, 2008

Apabila Ahli Parlimen Pulai, Dato’ Nur Jazlan Mohamed mengumumkan akan bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO, pelbagai pihak memberikan reaksi negatif. Adakah itu satu reaksi spontan yang lahir dari minda separa sedar, atau ia timbul disebabkan oleh kepercayaan bahawa hanya orang tertentu sahaja yang boleh menjadi Timbalan Presiden UMNO? Nak jadi Presiden UMNO, mestilah menjadi Naib Presiden UMNO, atau pun sekurang-kurangnya ahli Majlis Tertinggi UMNO dulu.

Biar saya berbeza pendapat dalam soal ini. Saya fikir tidak ada salahnya untuk Nur Jazlan menawarkan diri untuk jawatan tersebut. Selama ini kita sering bercakap bahawa UMNO perlu melakukan reformasi. Reformasi menuntut kita berfikir di luar kotak dan membuang kepercayaan lama yang tidak menguntungkan.

Rata-rata mempertikaikan usia Nur Jazlan. Seorang blogger ternama meminta beliau mengelap hingus sebelum menawarkan diri ke jawatan yang lebih tinggi. Saya tidak fikir ayat itu ditujukan kepada Dato’ Seri Mohd Ali Rustam atau pun Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tentunya tidak juga kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang sering disebut-sebut sebagai calon lain.

Masalah kita ialah sementara kita berbicara soal reformasi, namun kita tidak sedia untuk berubah. Saya tidak mengatakan saya menyokong Nur Jazlan untuk Timbalan Presiden dan sekiranya saya menjadi perwakilan UMNO, belum tentu saya akan mengundi beliau. Bagaimanapun, usahlah memperlekehkan Nur Jazlan kerana usianya.

Beberapa tahun lalu saya pernah menulis surat kepada YAB Perdana Menteri agar beliau menentukan terdapat seorang anak muda di bawah umur 40 tahun yang dilantik dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Namun jawapan yang diterima mengecewakan. Inilah cara kita berfikir dengan menganggap mereka di bawah usia 40 tahun sebagai tidak layak berada di situ. Kita boleh menentukan ada wakil wanita, ada wakil pelbagai bangsa, tetapi tidak mampu melantik seorang belia ke situ.

Nur Jazlan kini berusia 42 tahun. Adakah UMNO tidak mampu untuk memberikan ruang kepada seorang anak muda untuk bertanding jawatan nombor dua tertinggi dalam parti itu? Adakah kepimpinan UMNO hanya untuk orang tua-tua sahaja?

Calon Naib Presiden Amerika Syarikat, Sarah Palin kini berusia 44 tahun, iaitu dua tahun lebih tua daripada Nur Jazlan. Barack Obama pula berusia 47 tahun, jauh lebih muda dari semua nama yang telah mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Adakah Barack Obama dan Sarah Palin perlu diingatkan untuk mengelap hingus terlebih dahulu sebelum bercita-cita menjadi Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat? Tidak. Mengapa? Usia bukanlah faktor penentu, tetapi kemampuan dan visi seseorang itulah yang menjadi ukurannya.

Berbicara soal umur pemimpin, kembali ke tanahair. Lihat barisan kepimpinan PKR. Anggota Majlis Tertingginya, termasuklah Naib-naib Presiden parti itu adalah dalam usia 40-an. Ah, budak-budak hingusan itulah yang telah hampir-hampir menewaskan Barisan Nasional dalam PRU12 lalu.

Ada orang berkata Nur Jazlan tidak layak kerana dia Ahli Parlimen biasa. Barack Obama juga hanyalah seorang senator penggal pertama dari Illinois. Awalnya, itu juga dipersoalkan. Akhirnya, Obama dilihat sebagai calon yang bakal memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, sehinggalah John McCain beregu dengan Sarah Palin. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menjalani liku-liku kerjaya seorang ahli politik yang panjang. Akhirnya, apabila beliau menjadi Perdana Menteri selepas usia persaraan seorang pegawai kerajaan, kita jugalah yang menyuruh beliau mempercepatkan pelan peralihan.

Ada orang berkata, calon untuk Timbalan Presiden terlalu ramai sehingga martabat jawatan itu menjadi rendah. Itu pemikiran kuno. Berbelas orang menawarkan diri sebagai Presiden Amerika Syarikat. Mereka melalui proses saringan yang dinamakan “primary” dan akhirnya hanya dua orang calon berentap di pusingan akhir. UMNO juga ada sistem saringan, iaitu kuota pencalonan. Bukan semua yang menawarkan diri (termasuklah mereka yang kini berada di kerusi Naib Presiden atau MT) yang akan mendapat cukup pencalonan.

Saya tidak melihat apakah isu yang besar sehingga kita menghalang Nur Jazlan menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden UMNO. Sepatutnya kita tidak memperlekehkan Nur Jazlan dengan perkataan “hingusan”. Sewajarnya kita meminta Nur Jazlan berkongsi visinya sebelum kita menjatuhkan hukuman. Itu cara yang betul.

Kebelakangan ini pelbagai pihak bercakap soal reformasi dalam UMNO. Penawaran diri Nur Jazlan jelas membuktikan ahli-ahli UMNO masih belum sedia untuk berubah. Kita masih dibelenggu cara berfikir yang lama. Selagi itu tidak dirungkai, UMNO tidak akan ke mana-mana.

Perubahan dalam UMNO lebih dari sekadar peralihan kepimpinan dari Abdullah kepada Najib. Tentunya lebih malang lagi kalau perubahan itu dilihat sebagai pertukaran dari “orang-orang Abdullah” kepada “orang-orang Najib”. Perubahan dalam UMNO harus bersifat syumul; ia menuntut perubahan keseluruhan cara berfikir dan bertindak. Struktur dan proses dalam UMNO juga harus dirombak.

Sebelum ini saya pernah menulis bahawa “BN Memerlukan Sarah Palin” untuk menarik minat rakyat kepada parti itu. Mungkinkah kehadiran Nur Jazlan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO boleh menyemarakkan semangat rakyat yang ingin melihat seorang anak muda mencabar seluruh sistem UMNO? Paling kurang, ia akan menarik minta ahli-ahli UMNO untuk berdebat mengenai sistem dan proses pemilihan dalam parti mereka.

Sekiranya Sarah Palin boleh bertanding sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat, saya tidak nampak di mana kurangnya Nur Jazlan untuk menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden UMNO!

Entry Filed under: Politik. .

7 Comments Add your own

  • 1. a voice  |  October 7, 2008 at 6:19 am

    Tanpa muka yang dilihat sebagai membawa simbol dan imej perubahan, UMNO tidak akan dilihat mahu berubah.

    Apatah lagi dengan hanya muka2 60 something dan lebih teruk sekalii nama2 yg akan dijangka akan tentang Najib atau Muhyiddin adalah nama2 yang sudah rosak, tidak perform dan tidak membayangkan keupayaan intelek..

    Reply
  • 2. Ryzals  |  October 7, 2008 at 12:32 pm

    Sdr. Nobisha,

    Saya kira UMNO tak perlukan Sarah Pallin….kot……nanti dikenyitke mata pada semua…lagi tunggang langgang UMNO.

    Walaupapun, satu kupasan yang kritikal dan menarik. Memang ramai yang berkata bahawa UMNO perlukan perubahan malah ahli UMNO sendiri pun mengajuinya, tetapi perubahan yang macamana….struktur yang manacamana….forkus perubahan kepada apa…itulah yang tidak diketahui oleh UMNO. Makanya…proses peralihan itulah yang dianggap sebagai perubahan…..sedih rasanya.

    Ikhlas…

    Reply
  • 3. nobisha  |  October 7, 2008 at 1:17 pm

    Sdr A Voice,

    Saya fikir elok ada gandingan muka lama dan baru. Biar pengalaman dan kebijaksanaan mereka yang berusia memandu anak muda yang bertenaga.

    Reply
  • 4. nobisha  |  October 7, 2008 at 1:21 pm

    Sdr Ryzals,

    Sejak bila saudara bimbang dengan kenyitan mata Sarah Palin? hahaha

    Saya setuju apabila saudara menyebut mengenai kekeliruan antara peralihan kepimpinan dan perubahan dalam UMNO.

    Dalam hal ini, UMNO perlu mentakrifkan dengan lebih jelas mengenai perubahan yang diharapkan oleh ahli-ahli. Saya berharap ini merupakan isu teras perbahasan dalam mesyuarat UMNO bahagian-bahagian nanti.

    Reply
  • 5. Fazrul  |  October 7, 2008 at 2:04 pm

    Salam Tuan,

    Buat pa nak ambil orang luar jadi MP.. hjeeee.. makcik tijah.. or cik kiah kan ada…

    Orait…

    Reply
  • [...] beliau tidak jauh berbeza dengan apa yang saya sebutkan sebelum ini. Dalam tulisan bertajuk “Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Lebih Sarah Palin?” saya menulis: Calon Naib Presiden Amerika Syarikat, Sarah Palin kini berusia 44 tahun, iaitu [...]

    Reply
  • 7. Wirawaja  |  October 8, 2008 at 1:52 am

    Salam.

    Saya lihat tulisan ini memang baik dan boleh diterima sekiranya benar orang yang menawarkan diri mempunyai karisma.

    Soalnya ialah adakah Nobisha mengenali Nur Jazlan dan Mohamad Rahmat secara dekat terutama apa yang dilakukan di Bahagian Pulai?.

    Saya terlalu yakin bahawa penawarannya untuk bertanding Timbalan Presiden adalah semata-mata bagi mendapatkan sokongan perwakilan dalam Bahagiannya sendiri kerana kedudukannya memang amat goyah.

    Adakah mungkin seorang yang belum pasti menang dalam pemilihan Ketua Bahagian sanggup menawarkan diri untuk jawatan yang lebih tinggi?.

    Benar Barack Obama hanyalah seorang senator penggal pertama, apakah Nur Jazlan boleh disamakan sepertinya?.

    Bukanlah maksud saya untuk memandang rendah kepadanya. Berdasarkan kepada kemampuannya ketika ini yang diperlihatkan di Parlimen Pulai, saya tidak yakin beliau boleh sampai ke tahap tersebut.

    Buktinya, dalam pilihanraya yang baru lalu PAS mengemukakan seorang calun penjual ayam di salah sebuah gerai pasar telah mendapat lebih dari 17000 undi. Dan kini pencabarnya dalam pemilihan Ketua Bahagian telah menghampiri pencalunannya.

    Selain itu, cubalah beritahu apa yang telah beliau rancangkan untuk membangunkan Parlimen Pulai dan juga apakah yang telah beliau lakukan semasa menjadi Ahli Exco Pemuda UMNO Malaysia?.

    Ide yang baik dari Nobisha sebenarnya bukan untuk Nur Jazlan kerana sebenarnya pun beliau tidak layak untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian.

    Reply

Leave a Comment

Required

Required, hidden

Some HTML allowed:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Kalendar

October 2008
M T W T F S S
« Sep    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Terbaru

Komen

Fazrulls on Selamat Tinggal WordPress…
Hasbullah Pit on Selamat Tinggal WordPress…
bendera merah on Abdullah Atau UMNO Yang Mesti…
Wirawaja on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
Fazrul on Dari WordPress Kepada Blo…
Malaysiakini : Birok… on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
Fazrul on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
nobisha on Abdullah Atau UMNO Yang Mesti…
nobisha on Exco Selangor Dalam Malay…
nobisha on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
nobisha on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
Ryzals on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
efy on Exco Selangor Dalam Malay…
a voice on Apa Kurang Nur Jazlan? Apa Leb…
malaysiakita on Abdullah Atau UMNO Yang Mesti…

Blog Berwajah

Blog Tak Berwajah

Debat Rakyat

Arkib

Meta